Melaka - Pemerintahan Sultan Mansur Syah - kali ini aku nak bercerita mengenai Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaan Melaka dari tahun 1456 - 1477 iaitu memerintah selama 21 tahun ( Rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Mansur_Shah ).
Sultan Mansur Syah adalah gelaran kepada Raja Abdullah dan menaiki takhta Kesultanan Melayu Melaka selepas kemangkatan bapanya Sultan Muzaffar Syah. Menurut Tom Pires yang menulis Suma Oriental:
"Mamsursa (Mansur Syah) memerintah dengan bijaksana dalam kerajaannya, bermesyuarat dengan orang-orang tua untuk pemerintahan yang baik dalam perkara-perkara keadilan serta keselamatan negeri; menyatukan rakyatnya.."
Baginda menjalankan dasar perluasan wilayah dalam pemerintahannya. Antara negeri taklukan Melaka adalah Selangor, Bernam, Manjung, Rupat, Bentan dan pulau sekitarnya. Dari segi pertahanan pula, baginda menitahkan Bendahara Tun Perak menyerang Pahang sebagai benteng di pantai timur. Kampar dan Siak juga ditawan tetapi gagal menawan Pasai dan Aru kerana dikatakan kedua-dua negeri ini memiliki hulubalang yang tiada tandingan. Sebaliknya, Inderagiri dan Siantan diberi percuma oleh kerajaan Majapahit apabila baginda berkahwin dengan puteri Batara Majapahit itu.
Antara tindakan bijak baginda ialah dengan menawan Raja dan mengislamkan mereka kemudian memberi permaisuri Melaka untuk Raja tersebut. Antaranya Raja Siak dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Raja Mahadewi, baginda juga mengahwini puteri-puteri dari negeri tawanan seperti Puteri Wanang Sari dari Pahang, Radeh Galoh Candra Kirana dan anak-anak menteri seperti Tun Putih Sri Pualam. Malah mengambil puteri-puteri negeri lain berbagai bangsa seperti Puteri Hang Li Poh dan lain-lain sebagaimana catitan Tom Pires :
"Baginda mengambil puteri-puteri yang cantik-cantik daripada saudagar Parsi dan Keling, menjadikan gundik baginda, mengislamkan mereka sebelum kahwin, dan mengahwinkan mereka dengan anak-anak menteri dan disertakan emas kahwin; dan adat perkahwinan berbagai bangsa di Melaka tidak menghairankan.."
ini antara penyebab pengembangan Islam yang luas di kepulauan melayu.
Menurut Pires lagi, Sultan Mansur Syah juga membina masjid di kaki Bukit Melaka yang terletak berhampiran jambatan yang menyeberangi Sungai Melaka. Baginda menurunkan cukai keatas barangan dagangan yang menyebabkan pedagang berminat untuk singgah ke Melaka. Sistem Cukai Keutamaan diperkenalkan, pedagang dari sebelah barat seperti India, Arab dan lain-lain dikenakan cukai sebanyak 6% dan orang tempatan dikenakan cukai sebanyak 3% yang menghairankan pedagang dari timur seperti China, Jepun dan Jawa tidak dikenakan cukai.
Sultan Mansur Syah turut memuliakan alim ulama sambil mendalami ilmu agama hingga ke tahap Ilmu Tasawuf. Apabila kitab Ad Darrul Manzum karangan Maulana Abu Ishak diarak dari kapal sampai ke balairung, baginda datang sendiri berguru dengan Maulana Abu Bakar. Kemudian menitahkan supaya kitab itu diterjemahkan ke bahasa melayu di Pasai oleh Makhdum Patakan. Dalam hal keagamaan, baginda lebih suka merujuk di Pasai kerana negeri itu lebih kanan dalam hal agama. Kanun undang-undang Melaka dikatakan mirip keislaman dan qadhi Melaka ketika itu Sayid Yusof, anak kepada Sayid Abdul Aziz yang mengislamkan Melaka. Kemuncak kegemilangannya disebabkan diperintahkan oleh raja yang adil, berilmu dan beragama. Ditambah pula dibantu oleh Paduka Bendahara Tun Perak dan hulubalang-hulubalang. Tambah Pires lagi :
"...tidak diragui lagi bahawa Melaka begitu penting dan beruntung sekali, nampaknya pada saya tiada bandingannya dalam dunia...barang siapa yang jadi raja Melaka meletakkan tangan ke kerongkong Venice.."